RSS

Followers

Diskaun Tol Sempena Chinese New Year

KAJANG: Sempena sambutan Tahun Baru Cina ini, pengguna lebuh raya akan menikmati insentif iaitu diskaun dan pengecualian bayaran tol bagi 17 buah lebuh raya yang sedang beroperasi.

Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, insentif itu pertama kali diperkenalkan sempena perayaan berkenaan.

"Ini julung kali melibatkan 17 daripada 26 keseluruhan lebuh raya yang sedang beroperasi.

"Dalam erti kata lain, inilah wang 'angpau' untuk semua pengguna lebuh raya sempena Tahun Baru Cina ini," katanya pada Majlis Pelancaran Kempen Keselamatan Lebuhraya peringkat Kementerian Kerja Raya di sini hari ini.

Shaziman mengumumkan pengguna lebuh raya yang akan pulang ke Pantai Timur melalui Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur (Fasa 1) tidak akan dikenakan sebarang bayaran tol pada 11 dan 15 Februari mulai pukul 11.30 malam hingga 4.30 pagi.


Selain itu, pemberian diskaun tol pula adalah antara lima peratus hingga 20 peratus pada 14 Februari di beberapa buah lebuh raya yang menyertai insentif ini.

Lebuhraya yang menawarkan diskaun pada 14 Februari ialah Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL-Barat (Sprint), Lebuhraya Baru Pantai (NPE), Lebuhraya Sungai Besi (Besraya), Lebuhraya Smart, Lebuhraya Bertingkat Ampang Kuala Lumpur (Akleh), Lebuhraya Shah Alam-Kuang (Guthrie), Lebuhraya KL-Putrajaya, Lebuhraya Duta-Hulu Klang (Duke), Lebuhraya Cheras-Kajang (Grand Saga), Lebuhraya Shah Alam, dan Lebuhraya Penyuraian Trafik Lingkaran Kajang (SILK).

Sementara itu Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) pula menawarkan diskaun tol pada 10, 11 dan 12 Februari manakala Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) pada 17, 18 dan 19 Februari.

Katanya lagi, melalui pemberian insentif berkenaan diharapkan rakyat dapat menyemarakkan semangat dan integrasi 1Malaysia dengan mengamalkan amalan kunjung mengunjung.

"Saya juga berharap agar pendekatan pemberian insentif ini diteruskan pada musim-musim perayaan yang akan datang di samping cuti Hari Kemerdekaan negara," katanya.

Bagaimanapun Shaziman berkata, kesediaan syarikat konsesi terlibat menyediakan insentif itu secara sukarela mencerminkan konsep 'berorientasikan pengguna' syarikat terbabit kepada pengguna lebuh raya. Menurutnya kerajaan tidak mendesak syarikat konsesi tol menawarkan insentif berkenaan kerana memahami ada syarikat yang tidak berkemampuan dari segi kewangan.

Shaziman turut menyeru supaya syarikat-syarikat konsesi lebuh raya memainkan peranan yang lebih aktif bagi mempertimbangkan tahap keselamatam di lebuh raya melalui pembangunan program dan sistem keselamatan secara lebih komprehensif.

"Program atau sistem yang akan dibangunkan ini mestilah mampu mengesan keberhasilan dan pencapaiannya agar peningkatan prestasi keselamatan adalah secara berterusan.

"Secara tidak langsung, pendekatan yang tertumpu kepada aspek-aspek pencegahan dan bukannya pembetulan semata-mata mampu memastikan pengurangan kematian dan kecederaan parah akibat kemalangan," katanya.

Sehubungan itu katanya, pada tahun ini kerajaan akan mengenal pasti 30 kawasan 'hitam' yang sering berlaku kemalangan bagi membolehkan kerja pembaikan dijalankan di kawasan berkenaan.

Langkah itu ekoran kejayaan penambahbaikan jalan sepanjang tahun lalu di sepuluh kawasan 'hitam' yang dikenal pasti membabitkan kos antara RM200,000 hingga RM10 juta bagi setiap lokasi.

"Kementerian telah mengenal pasti 10 kawasan 'hitam' yang sering berlaku kemalangan pada 2008... terdapat 55 kemalangan.

"Tapi setelah kita mula melakukan kerja-kerja pembaikan pada April sehingga penghujung tahun lalu, tidak berlaku sebarang kemalangan di kawasan itu.

"Tapi bagaimanapun soal keselamatan itu tetap bergantung kepada pengguna itu sendiri, jika pemandu tidak mengamalkan pemanduan yang berhemah dan beretika, maka usaha kerajaan serta kempen-kempen keselamatan tidak akan berkesan," katanya.

Dalam pada itu, Shaziman berkata had kelajuan bagi bas ekspress dua tingkat wajar disemak semula.

"Kalau kita lihat kelajuan untuk bas satu tingkat dan dua tingkat adalah sama... saya fikir kita perlu lihat semula dan buat kajian sama ada perlu dikekalkan kelajuan yang sama ataupun tidak.

"Ini kerana pusat graviti bagi bas dua tingkat dan bas satu tingkat adalah berbeza," katanya.

sumber : mStar

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Hot Promo